Friday, April 9, 2010

~Rindu Seorang Hawa~

~Terima kasih buat NURSYUHADA BINTI M ZULKIFLI yang mencipta sajak ini. Sungguh, rasa terkesan dengan bait katanya. Sesuai buat makhluk bernama manusia yang seringkali alpa tatkala nikmat dunia melimpah di depan mata.

~Buat NURUL MU'AZZAH BT ROALLI, terima kasih jua kerana menggantikan tempat saya untuk mendeklamasikan sajak ini di Malam Perdana Siswa Kolej Kediaman Desa Jati pada 10.04.2010 nanti. Maaf kerana saya punya komitmen lain yang lebih perlu untuk diutamakan.

~Buat semua, ianya bukan sekadar sesuai buat renungan kaum hawa biarpun tajuk yang diberikan berkaitan hawa.


RINDU SEORANG HAWA

Tatkala diri hanyut dalam arus kegelapan
Sang suria memancar duka
Sang awan berarak lesu
membawa mendung kelabu
Rentak alam berlagu sepi
mengusap tiap titik jiwa yang mati

Bermula dari aku bangkit menjengah isi dunia
dengan izinMu Ya Allah,
telah banyak yang aku lalui
Hingga pernah resah jiwa ini
Hingga pernah gelisah hati ini
Cinta dunia merantai hati
walau tidak pernah aku zahiri

Saat itu Ya Allah
Engkau izinkan aku merasai kehangatan kasih dalam alpa
Engkau benarkan aku menikmati rindu Adam kepada Hawa
Engkau biarkan aku dalam bahagia yang sementara..
Cukuplah Wahai Tuhanku..

Saat berdua bersamamu di malam hari
aku terhenjut-henjut menangisi dosa lalu
cuba menggapai cintaMu itu
pada kemuncak kubah rindu dan menara kasihku
Menyaji maghfirah dan sakinah yang tak pernah luput

Tapi akhirnya
aku capai semua itu dengan nafsu amarahku
kucampak ke parit kederhakaan
Lantas kuketawa..
sambil aku menjunjung bangkai dan najis dunia..
kulumur pada hamparan sejadah
kuanyam pada tiap titis renik perjuangan
tanpa kusedar
bangkai dan najis itu yang kubilang cinta

Tiap hari kuucapkan
hidup dan matiku hanya untuk Allah
Tiap hari kulafazkan
aku ingin mati dalam perjuangan

Sangkaku..
aku rajin beribadah
bibir tak henti menyebut dakwah
maka selayaknya derita menjauh dariku
nikmat dunia seringkali menghampiriku
Wahai diri…
engkau tak lebih dari seorang abid yang kufur

Ya Allah..
Aku pernah kehilangan cintaMu
Pernah gersang jiwaku
Pernah tandus imanku
Dilema itu merobek ketenanganku
Hati yang telah retak semakin retak
Solatku tiada lagi khusyuknya
Rukukku tiada lagi ikhlasnya
Sujudku bersama fikiran melayang entah ke mana
Tahajudku sudah hilang serinya
Munajatku sudah hilang air matanya
Imanku longlai untuk berkata-kata
Kusebut dengan panggilan apa saja
untuk melukiskan bahawa ini adalah derita

Namun, syukur padaMu Tuhan atas segala kurniaan
Nikmat rasa cinta yang sedikit cuma padaMu ini
Jangan Engkau lenyapkan
Jangan Engkau kuburkan
Suburkanlah cintaku padaMu Tuhan
Biarkan hati ini terus mengharap, berpaut dan bergantung padaMu
Kurniakan kepadaku
Sekeping hati yang kuat
Agar ia terus hidup dalam cahayaMu selamanya..

Sunday, April 4, 2010

Mencari Damai Diri...


Dari jauh, saya memandang sahabat yang sedang melambai-lambai memanggil ketika saya berada diluar dewan kuliah, menunggu untuk masuk ke kelas seterusnya. Saya hanya tersenyum kerana saya sudah sedia maklum perkara yang ingin sahabat itu tanyakan kepada saya.

“Aduh, dari tadi ana panggil. Tak dengar-dengar ya. Mana enti nak lari ni?” Tanya sahabat saya. Mungkin terpengaruh dengan status yang saya tuliskan di facebook. ‘Lari dari kolej’.

Saya hanya senyum. Menunggu ayat seterusnya dari dia.

“Lili, ana baca buku Secangkir Teh Pengubat Letih karangan Ustaz Hasrizal. Bab pertama lagi dah kena dengan kes enti lari dari kolej. Hehe. Enti kena baca buku ni,” Kata sahabat saya itu.

PENGURUSAN EMOSI

Dulu, saya fikir saya sahaja yang tidak siuman kerana sering mengalami keadaan seperti ini. Tetapi setelah bersara dari dunia remaja dan mula beransur tua, saya tersedar yang ia suatu perkara biasa yang sering menimpa anak muda. Pergaulan bersama anak-anak muda di universiti, sering mendedahkan saya kepada cerita tentang depresi mereka dalam pelbagai bentuk.

Ada yang kerana cinta.

Ada yang kerana pelajaran.

Ada yang kerana dakwah.

Malah ramai juga yang tidak pasti apa sebabnya... seperti saya.

Mungkin hormon belum seimbang dan gangguan emosi menjadi kebiasaan.

“Carilah satu dunia asing... untuk kamu keluar dari diri kamu yang rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah; sama ada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah,” itu nasihat saya.

Carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya buat anak muda berjiwa da’ie, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi... hanya kamu dan Dia... tiada yang ketiga.

.........................................................................................................................

Saya tersenyum sendiri apabila membaca buku itu. Ya, jiwa remaja. Darah anak muda. Terkadang sukar dikawal, sukar diramal. Ada ketikanya, bersendiri lebih baik. Dan Alhamdulillah, saya kembali seperti biasa setelah ‘melarikan diri’ sebentar. =)