Sunday, April 4, 2010

Mencari Damai Diri...


Dari jauh, saya memandang sahabat yang sedang melambai-lambai memanggil ketika saya berada diluar dewan kuliah, menunggu untuk masuk ke kelas seterusnya. Saya hanya tersenyum kerana saya sudah sedia maklum perkara yang ingin sahabat itu tanyakan kepada saya.

“Aduh, dari tadi ana panggil. Tak dengar-dengar ya. Mana enti nak lari ni?” Tanya sahabat saya. Mungkin terpengaruh dengan status yang saya tuliskan di facebook. ‘Lari dari kolej’.

Saya hanya senyum. Menunggu ayat seterusnya dari dia.

“Lili, ana baca buku Secangkir Teh Pengubat Letih karangan Ustaz Hasrizal. Bab pertama lagi dah kena dengan kes enti lari dari kolej. Hehe. Enti kena baca buku ni,” Kata sahabat saya itu.

PENGURUSAN EMOSI

Dulu, saya fikir saya sahaja yang tidak siuman kerana sering mengalami keadaan seperti ini. Tetapi setelah bersara dari dunia remaja dan mula beransur tua, saya tersedar yang ia suatu perkara biasa yang sering menimpa anak muda. Pergaulan bersama anak-anak muda di universiti, sering mendedahkan saya kepada cerita tentang depresi mereka dalam pelbagai bentuk.

Ada yang kerana cinta.

Ada yang kerana pelajaran.

Ada yang kerana dakwah.

Malah ramai juga yang tidak pasti apa sebabnya... seperti saya.

Mungkin hormon belum seimbang dan gangguan emosi menjadi kebiasaan.

“Carilah satu dunia asing... untuk kamu keluar dari diri kamu yang rapuh dan kering itu. Basahkan kembali dengan bersunyi-sunyi dengan Allah; sama ada di tikar sejadah, atau hamparan bumi dan alam yang tekun dengan zikrullah,” itu nasihat saya.

Carilah damai untuk diri sendiri. Khususnya buat anak muda berjiwa da’ie, yang sering hidupnya berfikir tentang orang lain, hingga lupa perlunya diri dibelai damai oleh minda, emosi dan spiritual yang kemas antara diri dan Ilahi... hanya kamu dan Dia... tiada yang ketiga.

.........................................................................................................................

Saya tersenyum sendiri apabila membaca buku itu. Ya, jiwa remaja. Darah anak muda. Terkadang sukar dikawal, sukar diramal. Ada ketikanya, bersendiri lebih baik. Dan Alhamdulillah, saya kembali seperti biasa setelah ‘melarikan diri’ sebentar. =)

No comments: