Wednesday, July 1, 2009

Belajar Dari Dua Umar


Aku telah membeli buku 'Belajar Dari Dua Umar' ini sejak bulan Mac lagi. Namun, setelah sekian lama membaca, Alhamdulillah buku itu berjaya aku habiskan. Sempat juga aku bermuhasabah, lamanya masa yang diambil untuk menghabiskan buku itu sedangkan buku itu hanya mempunyai 130 muka surat. (Bukannye tebal sgt pun buku ni..novel Hlovate bleh je hbis bc dlm ms seminggu..ish..insaflah..huhu)

Bermulanya…

Aku kira, tentunya kita sering mendengar tentang kisah ini. Kisah dimana Saidina Umar Al-Khattab ialah seorang pemimpin yang sering menghabiskan waktunya dengan berjalan di malam hari untuk melihat keadaan rakyat-rakyatnya.

Beliau terdengar perbualan seorang ibu dan anak perempuannya di dalam sebuah rumah yang kecil. Ibu itu menyuruh anaknya mencampurkan susu yang ingin dijual dengan air. Si anak melarang perbuatan itu kerana Saidina Umar juga menghalang perbuatan itu. Kata anak itu lagi, jika Umar tidak mengetahui mereka melakukan sedemikian, sesungguhnya Tuhan Umar mengetahui perbuatan mereka.

Saidina umar yang mendengar perbualan itu nekad mahu menjodohkan anak beliau, 'Ashim dengan anak perempuan tersebut. Beliau yakin dengan sikap jujur dan amanah yang telah ditunjukkan oleh wanita itu.



Hasil dari perkahwinan itu, lahirlah seorang puteri yang dipanggil Ummu 'Ashim. Ummu 'Ashim telah berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan dan daripada perkahwinan ini, lahirlah seorang khalifah yang zuhud, bertakwa dan wara' yang diberi nama Umar bin Abdul Aziz. Tidak hairanlah, khalifah Umar bin Abdul Aziz tampil menjadi khalifah yang hebat kerana beliau mewarisi sifat-sifat kepimpinan itu dari moyang beliau iaitu Saidina Umar Al-Khattab.

Pengajaran penting yang wajar diambil dari kisah dua Umar ini ialah:

1. KESEDERHANAAN

Hal ini adalah perkara yang paling sukar untuk dilakukan oleh pemimpin di zaman ini. Limpahan ujian kesenangan dan jawatan sangat sukar untuk kita tangani. Namun, dua Umar ini mengajar kita tentang kesederhanaan. Kita boleh lihat bagaimana Saidina Umar boleh berjalan di tengah-tengah negeri tanpa ada seorang pun pengawal peribadi yang mengiringi, beliau tidur berbantal lengan dan berselimut embun demi menjalankan amanah beliau sebagai khalifah pada ketka itu, menjaga kebajikan rakyat-rakyatnya.

2. KETELADANAN

Sebagai pemimpin umat, dua Umar ini tidak hanya berbicara tentang kebaikan bahkan mereka menjadi orang oertama yang melakukan kebaikan. Mereka betul-betul memahami dan menghayati firman allah dari surah as-saf ayat 3 yang bermaksud:

Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.

Begitulah sewajarnya apabila menjadi seorang pemimpin, kita perlu menjadi contoh buat yang lain. Semakin jauh kita dari keteladanan, semakin sukar juga rakyat atau orang bawahan kita untuk patuh.

3. AL-ITHAR

Al-ithar bermaksud mendahulukan orang lain daripada diri sendiri. Ithar ini juga merupakan marhalah tertinggi dalam berukhwah. Aku cukup tertarik dengan kata-kata Saidina Umar al-khattab. Beliau sanggup mendahulukan rakyatnya daripada beristirehat.

"Jika rakyatku kekenyangan, akulah orang terakhir yang akan menikmatinya. Tetapi jika mereka kelaparan, akulah yang pertama akan merasakannya. Kenyangkan perut rakyatmu sebelum engkau mengenyangkan perutmu"

…………………………………………………………………………………………........................
Memetik kata-kata dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam buku ini. Kata beliau:

"dalam Islam ada menyebut, sebelum melakukan sesuatu, Tanya dulu pada hati sendiri. Jangan guna petua orang lain untuk jadi panduan diri sendiri. Hati adalah tempat letaknya iman dan kufur. Latihlah hati kita biar dipenuhi iman, jadi pandangan serta hati inilah yang kita perlu gunapakai".

1 comment:

Ana said...

Buku neh lme dah beli..tp tak terbaca ag..huhuhu~~