Thursday, February 3, 2011

Termenung

“Dulu orang selalu kata, seorang ibu mampu jaga sepuluh orang anak. Tapi sepuluh orang anak tak mampu jaga seorang ibu.” Kata mak semasa kami sekeluarga makan bersama tengahari tadi.

“Tapi mak kurang setuju. Sebab seorang ibu mengurus sepuluh anak yang kecil. Yang boleh dimarah kalau tak faham bahasa, boleh dirotan bila degil. Sedangkan seorang anak tak boleh marah apabila menjaga seorang ibu. Perlukan kesabaran yang tinggi.” Mak menyambung ayat.

Aku mengiyakan di dalam hati. Menjaga ibu dan ayah yang telah berusia memerlukan kesabaran yang sangat tinggi, tak semua orang mampu bertahan. Kerana aku dibesarkan dalam keadaan itu. Ayah pulang ke kampung dan tinggal bersama arwah atuk semata-mata kerana nak menjaga arwah atuk. Tanggungjawab anak lelaki sulung dalam keluarga. Dan menjaga seorang ayah yang tua, tak semudah ayah menjaga kami sebagai anak-anak. Kami semakin hari semakin berakal. Semakin besar. Semakin bijak menilai. Sedangkan menjaga seorang ayah yang tua, semakin hari semakin banyak perkara yang terlupa. Semakin hari kesihatan semakin tidak mengizinkan. Semakin hari semakin menguji kesabaran seorang anak yang menjaganya. Sungguh.

Selesai solat maghrib tadi, lama saya termenung di tikar sejadah. Memikirkan semula kata-kata mak ketika makan tengahari tadi. Mak dan ayah semakin meningkat usia. Semakin tidak berdaya. Apakah aku mampu menjadi seperti mereka. Menjadi manusia sesabar dan setabah mereka. Berbakti kepada mak dan ayah mereka sehingga ke hembusan nafas terakhir.

Allahurabbi, jadikan aku anak yang solehah. Moga aku sempat menabur bakti buat mereka. Amin.

2 comments:

Sufi AlFaruqi said...

Allahummaghfirlahuma..

iela said...

in'allah..anti mampu lili..berdoa la di beri kesabaran yang tinggi..=)